Sissy Imann baru-baru ini mengumumkan untuk batalkan majlis pelancaran album baru yang sudah selesai dirakam selepas terkesan dengan komen yang diberi juri Famili Duo.
Sissy Imann sebelum ini merakamkan album sulungnya di Studio Abbey Road, London, United Kingdom (UK).
Tidak mahu usaha anaknya sia-sia, bapa kepada Sissy, Muhammad Kamil Mustaffa tekad menganjurkan majlis pelancaran album Khamis ini.
“Sebenarnya, Sissy sudah tidak mahu buat majlis pelancaran album. Tetapi saya terpaksa anjurkan kerana ia hadiah kami sekeluarga kepada dia.
“Apa yang kami lakukan adalah untuk menghargai setiap usaha dan kejayaan Sissy dalam bidang muzik.
“Saya akan sentiasa hargai apa sahaja pencapaian anak,” katanya seperti dipetik BH Online.

Bagi Muhammad Kamil yang membahasakan dirinya ‘Ayahanda’, beliau menganggap pencapaian dan hasil titik peluh anaknya itu layak diberi penghargaan.
“Segala persiapan untuk menjayakan rakaman album di studio tersohor itu adalah hasil usahanya sendiri. Jadi, Sissy layak diraikan dan dihargai.
“Sissy tampak gembira untuk melancarkan album pertamanya itu. Semangatnya pun sudah mula kembali,” tambahnya.
Pastinya setiap bapa mahukan yang terbaik buat anaknya, tiada seorang pun sanggup melihat keadaan anak yang terkesan akibat kata-kata yang mengguris perasaan sehingga sanggup membatalkan pelancaran album sulung.
Baca juga: Mas Idayu kunci mulut, Naim dan Sissy Iman pilih tak rayu ‘mummy’ beri komen