Mula edit video guna laptop kakak, kini Soyfank bertaraf antarabangsa

Oleh KIM SYAZIE

Personaliti media sosial, Sofyank sekali lagi mengharumkan nama negara apabila bakal bekerjasama dengan pelakon Hollywood, Paul Rudd dan Jonathan Majors.

Pendedahan tersebut dibuat oleh pemilik nama Mohamad Sofian Abdullah itu di laman sosial media Twitter miliknya.

Menurut Soyfank, tujuannya terbang ke Australia adalah untuk menjalankan penggambaran bersama bintang Antman itu.

“Lebih kurang 12 jam je lagi untuk shoot video dengan Paul dan Jonathan. Makin lama makin nervous. Semoga Mohamad Sofian tak tersasul masa shoot.

“Saya juga ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan juga tak henti bagi sokongan kepada karya kami sebagai content creator,” ciapnya.

Pada 30 Januari lalu, Soyfank yang popular dengan editan video kesan khas (VFX) telah memuat naik video yang menunjukkan sebuah lukisan karikatur dua selebriti lelaki.

Menurutnya, selebriti tersebut bakal bekerjasama dengannya tidak lama lagi dan meminta peminat untuk meneka siapakah gerangannya.

Rupa-rupanya selebriti tersebut adalah bintang yang bakal muncul di dalam filem superhero, the Ant-Man and The Wasp: Quantumania.

Siapa sangka hobi yang mula diasah sejak berumur 14 tahun itu boleh menjadi punca pendapatan yang lumayan baginya.

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mula belajar cara menggunakan teknologi VFX melalui tutorial di Youtube.

Tidak mempunyai sebarang kemudahan seperti laptop, Sofyank mula berjinak-jinak di dalam bidang itu menggunakan laptop kepunyaan kakaknya.

Kini, karya yang dihasilkannya telah berjaya mendapat perhatian seluruh dunia khususnya idolanya sendiri, Zach King yang mempopularkan video kesan khas di Youtube dan TikTok.

Betullah kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Selamat maju jaya Sofyank!

Baca juga: Jiran dari neraka simbah air kencing di tingkap rumah, pasangan mulanya sangka diganggu jin