Selepas kerajaan melaksanakan program Menu Rahmah dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah, timbul pula cadangan agar kerajaan melaksanakan konsep sama bagi sektor perubatan dan farmasi.
Cadangan itu diutarakan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) yang memohon kerajaan melaksanakan ‘Farmasi Rahmah’ bagi membolehkan orang ramai mendapatkan ubat dengan harga yang rendah.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam respon segeranya memaklumkan tiada keperluan untuk melaksanakan Farmasi Rahmah seperti yang dicadangkan.
Jelasnya, produk perubatan dengan harga yang rendah itu boleh didapati di klinik dan hospital kerajaan yang sudah dilaksanakan sejak sekian lama.
“Tidak perlu samakan makanan dengan ubat-ubatan. Sehingga kini rakyat hanya perlu membayar RM1 untuk mendapatkan rawatan dan ubat di klinik kesihatan kerajaan,” katanya memetik laporan Berita Harian, semalam.
Kerajaan sebelum ini melancarkan inisiatif Menu Rahmah membabitkan 15,000 premis menjual hidangan pada harga RM5 untuk membantu golongan berpendapatan rendah.
Berikutan itu, Presiden MPS, Amfrahi Buang mencadangkan kepada kerajaan supaya konsep yang sama diperluaskan kepada ubat-ubatan bagi membantu rakyat memperoleh produk berkenaan pada harga lebih rendah.
Amrahi memaklumkan peningkatan harga ubat-ubatan itu tidak dapat dihalang atau ditentukan pihaknya kerana ia berdasarkan penerimaan pembekal serta farmasi komuniti terbabit.
Bagaimanapun, Amrahi menyatakan peningkatan harga ubatan itu bukanlah satu perkara baharu kerana ia berpunca daripada tukaran mata wang asing, kos pembungkusan dan logistik.
Baca juga: Tempat letak kereta pun tak ada, pengunjung bengang Majlis Bandaraya keluar surat saman di hari Ahad