Kerajaan telah membentuk satu Pasukan Petugas (Task Force) untuk menyelaras usaha bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Turkiye dan Syria susulan tragedi gempa bumi yang melanda kedua-dua negara itu pada Isnin.
Pasukan Petugas itu diketuai bersama oleh Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan objektif utama untuk memastikan segala persiapan dan perancangan bagi saluran bantuan kemanusiaan ke negara-negara terkesan akibat bencana gempa bumi ini berjalan lancar, teratur serta memenuhi garis panduan oleh kerajaan-erajaan berkenaan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan akhbar pagi ini memaklumkan satu mesyuarat koordinasi antara Pasukan Petugas ini dengan NGO-NGO Malaysia akan diadakan pagi ini.
Berikutan bencana itu, Malaysia pada malam Isnin telah segera menghantar pasukan elit Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terdiri daripada 70 anggota ke Turkiye dan menjadi antara kumpulan pasukan dari negara asing pertama yang sampai di negara itu bagi membantu kerajaan Turkiye untuk misi mencari dan menyelamat.
Pasukan SMART itu tiba di Istanbul pada 6 pagi (waktu tempatan) 7 Feb dan telah digerakkan ke Adana, yang terletak 500 kilometer (km) dari Ankara dan 987 km dari Istanbul, bagi misi mencari dan menyelamat di kawasan berkenaan, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kementerian Luar turut menasihatkan warga Malaysia yang kini berada di Turkiye, Syria dan di negara-negara berdekatan agar terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.
Mereka dinasihatkan untuk segera berhubung dengan Kedutaan-kedutaan Malaysia di Amman, Ankara, Beirut atau Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul atau Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik, jika memerlukan bantuan segera.
Sebelum ini, ia mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terkesan oleh bencana itu.
Setakat ini hampir 8,000 mangsa dilaporkan terkorban di Turkiye dan Syria akibat gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter.
— BERNAMA
Baca juga : Tak faham isu tapi masih nak bahas, warganet berang Azman Ibrahim samakan wanita dengan barang jualan