Tuntut waktu kerja 45 jam, gadis dan empat rakan dibuang kerja

Oleh KIM SYAZIE

Persoal majikan tentang perlaksanaan waktu bekerja 45 jam, seorang gadis diberi notis penamatan bekerja serta merta.

Menurut perkongsian di aplikasi sosial media Tiktok, seorang gadis bertanya kepada majikannya sekiranya ada perubahan dalam jadual bekerja.

Hal ini berikutan, mengikut pindaan akta 1955 yang dilaksanakan 1 Januari lalu, waktu bekerja akan berkurang dari 48 jam kepada 45 jam.

Penguatkuasaan pindaan Akta Kerja tersebut diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar pada bulan Disember lalu.

Oleh yang demikian, pemilik akaun merasa dirinya berhak menuntut kelonggaran yang diluluskan oleh parlimen itu.

Tuntut waktu kerja 45 jam, gadis dan empat rakan dibuang kerja
Tangkap layar dari TikTok

Menerusi tangkap layar yang dikongsi video yang sama, majikannya itu tidak berpuas hati dengan pertanyaannya itu.

Katanya, pekerja itu tidak berhak bertindak sedemikian kerana tidak datang bekerja pada tepat waktu.

“Siapa yang nak argue, tak suka, esok tak payah datang (kerja). Kerja pun biasa-biasa saja jujur cakap.

“Boleh buka syarikat sendiri lagi bagus,” ujar majikannya yang berang dengan perdebatan pekerjanya itu.

Tiada angin, tiada ribut majikannya itu bertindak menghantar surat pemberhentian kerja kepada gadis itu dan rakannya.

Perjuangannya tidak berhenti di situ, gadis bersama empat rakan sekerjanya membuat laporan ke Pejabat Buruh, PERKESO dan pihak polis.

Belum ada sebarang kata putus, diharapkan gadis dan rakan sekerjanya itu menemui keadilan dan jalan penyelesaian.

Baca juga: Tak faham isu tapi masih nak bahas, warganet berang Azman Ibrahim samakan wanita dengan barang jualan