Hanya kerana cemburu, wanita dan ibu mentua culik kekasih suami

Oleh KIM SYAZIE

Angkara cemburu, seorang wanita sanggup bertindak di luar pemikiran dengan menculik kekasih suaminya baru-baru ini.

Wanita terbabit meminta pertolongan ibu mentuanya untuk melarikan ‘perampas’ yang merupakan warga asing.

Kejadian terbabit bermula apabila suaminya meninggalkan mangsa seorang diri di dalam kenderaan yang tidak dimatikan.

Kereta yang ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci itu kemudian dilarikan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Setelah gagal menghubungi mangsa, lelaki yang berusia 34 tahun itu melaporkan kejadian terbabit kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan pada pukul 12.38 pagi, Sabtu lalu.

Mangsa kemudian berjaya ditemui di pada hari Ahad, jam 7.30 petang di Bandar Dataran Segar, Port Dickson.

Penemuan itu berhasil ekoran penahanan dua wanita iaitu ibu dan isteri pengadu serta seorang lelaki di lokasi berasingan.

“Perancang utama dalam kejadian ini adalah ibu dan isteri yang hendak memisahkan hubungan intim antara pengadu dan mangsa.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar,” ulas Eng Lai.

Tidak dinafikan, kehadiran orang ketiga mampu menganggu emosi.

Namun, setiap tindakan yang diambil perlulah difikir secara waras agar tidak menjerat diri sendiri.

Baca juga: Gara-gara tangisannya, bayi yang masih bertali pusat berjaya diselamatkan di bawah tanah runtuh