Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mencipta sensasi di Amerika Syarikat apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) miliknya sendiri pada kejohanan Tiger Paw Invitational, pada Jumaat.
Pada perlumbaan berlangsung di Universiti Clemson, South Carolina itu, Muhammad Azeem mewakili Universiti Auburn mencatat 6.62 saat (s) pada aksi final untuk menamatkan saingan di tempat kelima, dibezakan dengan 0.01s rekod acara sama dilakukannya pada kejohanan 2023 Texas Tech Open, Januari lepas.
Trayvon Bromell (6.42s) mewakili New Balance muncul juara saingan itu, manakala Marcellus Moore (6.56s) dari Universiti Texas dan Sterling Warner-Savage (6.59s) mewakili Universiti Louisville, masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.
Terdahulu pada pusingan kelayakan, Muhammad Azeem merekodkan 6.65s untuk menduduki tempat keempat terpantas pusingan berkenaan.
Muhammad Azeem, yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s, tiba di Universiti Auburn di Alabama pada 4 Jan lepas, untuk melanjutkan pelajaran sambil menjalani latihan di sana.
— BERNAMA
Baca juga : Buat tempat khas untuk letak air, warganet puji penghantar makanan kreatif