Mekanik Melayu di MotoGP Habib tak kekok berbahasa Sepanyol, Itali

Oleh MALAYSIADATELINE

Mekanik Melayu pertama dalam Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP), Habibtullah Mohamad Fuad tidak melihat masalah komunikasi sebagai batu penghalang untuk membina kerjaya cemerlang bersama pasukan RNF MotoGP Team.

Mula bersama RNF MotoGP Team musim lepas, Habibtullah, 37, berkata kerjayanya menuntut beliau untuk memahami dan bertutur bukan sahaja dalam bahasa Inggeris malah bahasa Sepanyol dan Itali.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata ini kerana kebanyakan rakan sekerjanya di hentian pit merupakan warganegara Sepanyol dan Itali.

“Dahulu saya tak tahu langsung berbahasa Itali namun sejak tahun ini saya tahu serba sedikit memandangkan jurutera saya dari sana.

“Bagi Bahasa Sepanyol pula, saya sudah berinteraksi (dalam bahasa Sepanyol) selama lapan tahun memandangkan saya pernah bersama krew pasukan dari Sepanyol dalam kancah Moto2 sejak 2014,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir Ujian Musim Sejuk MotoGP 2023 di sini, hari ini.

Ditanya bagaimana mula bergelumang dalam dunia permotoran, Habibtullah atau lebih dikenali Habib berkata beliau sememangnya dibesarkan dalam keluarga yang meminati sukan itu. 

“Ayah saya merupakan pelumba motorcross, dari situ saya sudah terpengaruh dengan dunia permotoran. Saya menjadi mekanik sejak umur 14 tahun lagi dalam satu perlumbaan di Batu Tiga, Shah Alam dan dari situlah segalanya bermula,” katanya.

Beliau berkata minat dan kerjaya dalam dunia permotoran menyebabkan beliau terpaksa berkorban masa dengan keluarga kerana jadual yang padat sepanjang tahun.

“Sebanyak 21 perlumbaan perlu ditempuhi tahun ini, kalau ikutkan masa memang tak banyak bersama keluarga. Nasib baik ada teknologi panggilan video untuk ubat rindu kepada mereka,” katanya.

Anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu berpesan kepada golongan muda yang berminat untuk bekerja di belakang tabir sukan permotoran, khususnya untuk berada dalam dunia MotoGP, agar tidak berputus asa dalam mengejar impian.

Mengenai cabaran musim ini, beliau mengakui masih lagi menyesuaikan diri dengan enjin Aprilia yang digunakan pasukannya musim ini berbanding Yamaha pada musim lepas.

Kesemua pelumba dan pasukan akan terlibat dalam ujian dua hari di Autodromo Internacional do Algarve, Portimao, Portugal pada 11 dan 12 Mac ini, dengan perlumbaan pertama musim 2023 berlangsung di litar sama dua minggu kemudian (24-26 Mac).

— BERNAMA

Baca juga : Takut tercalarkan kereta, pekerja pembersihan minta alih kenderaan tapi kena marah pula