Kelmarin tular ciapan di Twitter mendakwa berlaku kesesakan di unit jabatan kecemasan dan trauma di Hospital Putrajaya baru-baru ini.
Rentetan itu, HPj dalam kenyataan semalam tampil menjelaskan situasi sebenar di mana wad kecemasan menerima jumlah pesakit yang tinggi dalam tempoh dua jam menyebabkan kesesakan berlaku.
Menurut Pengarah HPj, Datuk Dr Nora’ Mohd Said, pada jam 11 malam hingga 1 pagi pada 13 Februari lalu, bilangan pesakit telah meningkat seramai 95 orang.
Namun katanya, para petugas termasuk jururawat telah bertugas pada kapasiti maksimum bagi menangani kedatangan pesakit yang tinggi.
Tambahnyaz ketika kejadian yang berlaku pada syif malam, jumlah keseluruhan pegawai perubatan bertugas ialah 13 orang dan mereka telah ditempatkan di setiap zon di bilik rawatan.
“Petugas-petugas berusaha memberikan perkhidmatan terbaik bagi pesakit-pesakit yang datang ke Jabatan Kecemasan.
“Doktor dan kakitangan juga dilaporkan bergilir-gilir memanggil pesakit bagi mengelakkan pesakit menunggu lama dan memudahkan doktor mendapatkan maklumat terus daripada pesakit,” katanya.
Pada masa sama, HPj berkata, pihaknya berterima kasih dan berlapang dada serta menerima pandangan yang dikemukakan pemilik twitter berkenaan.
Baca juga: Harga tapak lebih RM20,000 untuk karnival raya, warganet takut nak tahu harga baju