Jangan buang plastik pampers, wanita beri tips tebus hadiah percuma

Oleh KIM SYAZIE

Sejurus selepas habis menggunakan lampin pakai buang, ibu bapa seringkali membuang plastik yang membungkusnya.

Namun tahukah anda, selain menjadi plastik pembuangan sampah, ibu bapa boleh mengumpul plastik tersebut bagi menebus hadiah bahkan lampin percuma.

Baru-baru ini, seorang wanita membuat hantaran di akaun sosial media miliknya untuk berkongsi pengalaman serta tips bagi menebus hadiah percuma.

“Plastik pampers ni korang jangan buang dulu, ada kegunaan dia selain buat plastik sampah. Dalam plastik ni ada ‘kod unik’.

“Mommy boleh kumpul mata ganjaran banyak-banyak dan boleh tebus hadiah tau,” kata @amizahmieja di aplikasi sosial media Twitter.

Katanya, kod unik yang digunakan buat menebus mata ganjaran itu selalunya berada di bahagian tepi, sebelah dalam plastik.

Sebelum memasukkan kod unik tersebut, pelanggan biasanya diminta untuk ‘sign-in’ atau mendaftar masuk terlebih dahulu di laman web jenama lampin itu.

Setelah itu, pelanggan perlu membaca terma dan syarat serta mengikut langkah-langkah yang tertera di laman web terbabit.

Namun begitu, bukan semua jenama lampin buang yang berada di pasaran menawarkan program mata ganjaran tersebut.

Menurut maklum balas di ciapan wanita terbabit, antara jenama lampin yang menawarkan program itu adalah Mamypoko, Drypers dan PetPet.

Baca juga: Setahun tinggalkan dunia seni, pelakon aksi Hollywood hidap demensia