Pasangan pengantin di Indonesia telah menyita perhatian di media sosial setelah menjadikan kain kafan sebagai mas kahwin.
Satu rakaman acara pernikahan pasangan yang dipercayai berlaku di Lombok itu tular di media sosial TikTok baru-baru ini.
Dalam video tular tersebut, jelas terdengar pengantin lelaki menyebut perkataan kain kafan sebagai mas kahwin dalam lafaz akad.
Selain kain kafan, pengantin lelaki turut memberi wang tunai sebanyak 2.58 juta rupiah atau RM753 sebagai mahar perkahwinan.
Menurut mempelai lelaki yang bernama Hapipi, dia mulanya yang ‘kaget’ atau terkejut, malah menawarkan barangan lain namun ditolak.
Kata mempelai wanita yang dikenali sebagai Baiq Sri Ratna Wahyuningsih, mahar yang ingin diberi lelaki itu hanyalah bersifat kesenangan dunia semata.
Apa yang dia mahu hanyalah kain kafan, satu keperluan yang pada pandangannya sangat diperlukan dan boleh dibawa mati.
“Kenderaan juga ditawarkan kepada saya, tapi itu hanya duniawi, meskipun kita akan perlukan juga akhirnya.
“Tetapi yang pasti kita perlukan ketika mati nanti itu cuma kain kafan,” kata Wahyuningsih.
Niatnya, kain kafan yang diletakkan di bekas yang terbuka itu dapat mengingatkan tetamu untuk selalu mengingati kematian dan jalani kehidupan dengan penuh kesyukuran.
Baca juga: Budak 8 tahun terima hadiah rantai bernilai RM12,878 masa Hari Valentine, ibu pulangkan balik semula