‘Semalam lambat hari ini lambat!’, Hakim sekolahkan Siti Bainun, peguam

Oleh KIM SYAZIE

Hakim Mahkamah Sesyen semalam berang apabila pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dan peguam belanya tidak menepati masa perbicaraan apabila ‘menghilang’ ketika prosiding mahu dimulakan.

Hakim Izralizam Sanusi berkata, mahkamah telah menetapkan prosiding bermula pukul 9.30 pagi, namun Siti Bainun masih juga terlewat.

Memetik Kosmo!, hakim telah bertanya kepada seorang lagi pembantu peguam bela, Siti Zulaikha Zulkifli, di mana tertuduh dan peguamnya Mohammad Farhan Maaruf kerana selepas 9.30 pagi, kedua-duanya belum berada di dalam mahkamah.

Hakim juga memberi teguran tegas agar peguam bela memberi peringatan kepada anak guamnya iaitu Siti Bainun supaya menepati waktu.

“Awak ingatkan sikit anak guam awak. Dia adalah Orang Kena Tuduh (OKT), semalam lambat, hari ini lambat,” kata hakim Izralizam kepada Siti Zulaikha.

Menjawab pertanyaan itu, Siti Zulaikha kemudian berkata anak guamnya telah tiba, tetapi mungkin ke tandas.

Hakim Izralizam kemudian berkata, mengapa tertuduh tidak boleh menunggu prosiding bermula dan kemudian meminta izin untuk keluar.

Sejurus selepas itu, Siti Bainun kemudian dilihat memasuki galeri mahkamah dan hakim Izralizam segera menyuruhnya memasuki kandang tertuduh.

Hakim Izralizam: OKT, Kamu pergi mana tadi? Saya sudah kata kes bermula pada pukul 9.30 pagi semalam. Kenapa kamu keluar?

Siti Bainun: Saya ada dekat luar. Jawab ‘call’. (Panggilan telefon).

Hakim Izralizam: Kamu datang lambat, apa kamu nak cakap?

Siti Bainun: Saya dekat luar tadi, saya tidak dengar mahkamah sudah bermula. Saya jawab ‘call’.

Hakim Izralizam: Kamu tahu mahkamah akan bermula 9.30 pagi kan? Jadi kamu patut berada dalam mahkamah. Ada panggilan ke apa kamu tidak perlu jawab. Saya dah masuk, timbalan pendakwa raya dah masuk, kenapa kamu tidak boleh?

Dalam masa sama, hakim Izralizam sekali lagi mengingatkan semua pihak untuk menepati masa kerana beliau telah mengosongkan keseluruhan hari itu bagi perbicaraan kes itu.

Semalam Siti Bainun Ahd Razali memberitahu bahawa dia melantik semula salah seorang peguam yang pernah menarik diri dalam bicara bela dirinya atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella.

Semasa prosiding semalam, Siti Bainun memaklumkan peguam itu ialah Mohammad Farhan Maaruf yang mana peguam itu pernah mewakilinya semasa perbicaraan peringkat pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Baca juga: Pemuda terkejut gerai di ibu kota caj RM5 untuk Nescafe O Ais ikat tepi