Menyayat hati, tulang belakang gajah bengkok sebab banyak angkut pelancong

Oleh KIM SYAZIE

Keadaan fizikal seekor gajah yang menyayat hati telah menimbulkan pelbagai persoalan khususnya buat rakyat Thailand.

Mana tidaknya, badannya yang tidak lagi tegap dengan tulang belakang membengkok bakal mengundang rasa simpati daripada sekian manusia.

Menjalani hari-hari dengan penuh penderitaan, suspek utama tidaklah begitu asing melainkan manusia sendiri yang tidak berhati perut.

Gajah yang bernama Pai Lin itu sebenarnya digunakan dalam industri perlancongan selama lebih 25 tahun sebagai tunggangan pelancong.

Bayangkan, seekor gajah yang tidak mempunyai akal itu terpaksa mengangkut sehingga enam orang pengunjung dalam satu masa.

Walaupun Pai Lin kini telah aman tinggal di pusat menyelamat hidupan liar, namun perjuangan belum selesai kerana khidmat gajah masih digunakan sebagai pengangkutan.

Oleh yang demikian, Yayasan Rakan Hidupan Liar Thailand (WFFT) bertindak menyebarkan gambar Pai Lin dengan harapan dapat menyedarkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Walaupun gajah terkenal dengan kekuatan dan saiznya, punggungnya tidak direka secara semula jadi untuk menanggung beban berat kerana tulangnya yang memanjang ke atas.

“Tekanan berterusan pada tulang belakang gajah daripada pelancong boleh mengakibatkan kerosakan fizikal kekal, seperti yang boleh dilihat pada Pai Lin,” kata Pengarah Projek di WFFT, Tom Taylor.

Dengan tularnya gambar Pai Lin, diharapkan pengunjung tidak lagi terpedaya dengan ‘tarikan pelancong’ yang menyiksa haiwan.

Baca juga: Muka berbeza dalam passport, model Ukraine ditahan imigresen kerana tak makeup