Tiada lagi rawatan, pemergian kanak-kanak ditangisi kakitangan hospital

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah rakaman memaparkan beberapa kakitangan hospital yang menangisi kepulangan seorang kanak-kanak tular di media sosial baru-baru ini.

Menyayat hati, kepulangan kanak-kanak itu ke rumah adalah kerana tiada lagi rawatan yang dapat dilakukan pihak hospital bagi memulihkan penyakitnya.

Sembilan hari kemudian, anak kecil yang dikenali sebagai Zarif itu menghembuskan nafas terakhirnya di rumah akibat kegagalan buah pinggang.

Video tersebut sebenarnya dirakam pada tiga tahun lalu sebelum dimuat naik semula oleh ibunya sebagai tanda penghargaan kepada pihak hospital.

“Hantaran ini ditujukan khas kepada semua Jururawat Am dan Jururawat Dialisis KK1 IPHKL dan Wad Dialisis Peads (Pediatrik) 9C, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

“Anda semua adalah unsung heroes (wira yang tidak didendang),” kapsyen hantaran di akaun media sosial Instagram, @telekung_anna.

Menurut Anna, Zarif menderita penyakit Posterior Urethral Valve (PUV) yang menganggu aliran keluar air kencing seterusnya mengakibatkan kerosakan buah pinggang.

Katanya, walaupun pembedahan pembetulan saluran telah dilakukan, namun keadaan anaknya tidak membaik malah semakin memburuk.

“Ya, dia kalah dalam pertempuran di bumi. Tetapi dia memenangi tempat di syurga,” katanya yang turut berdoa agar kanak-kanak lain tidak melalui penderitaan anaknya.

Untuk makluman, PUV dapat dikesan semasa waktu kehamilan ketika proses ultrasound dan selewat-lewatnya dalam enam bulan pertama kelahiran.

Baca juga: Tidak tahu guna ATM, lelaki kerugian RM1,000 ‘dirembat’ polis bantuan