Luluh hati ibu mengandung, barang keperluan bersalin hangus terbakar

Oleh KIM SYAZIE

Menjelang tiga bulan tarikh persalinan, wanita hamil terduduk apabila perumahan kuarters miliknya hangus dijilat api.

Mangsa kebakaran, Nurul Zazida Hasmira berkata dalam kejadian yang berlaku di Gua Musang, Kelantan itu, tiada satu barang pun yang sempat diselamatkan.

Termasuklah barangan persediaan yang berjumlah hampir RM1,000 bagi menyambut kelahiran anak yang berbaki tiga bulan.

Zazida yang ketika itu tiada di rumah terperanjat ketika menerima panggilan daripada jiran bagi memaklumkan kebakaran rumahnya itu.

“Luluh hati apabila sampai di lokasi kejadian selepas melihat seluruh bahagian rumah hangus dijilat api dan tiada barangan yang sempat diselamatkan.

“Segala kelengkapan bayi yang dibeli beberapa hari lalu untuk persediaan bersalin tiga bulan lagi juga hangus,” katanya.

Kebakaran tersebut berlaku di kuarters Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di mana ianya melibatkan dua buah keluarga.

Tinggal sehelai sepinggang, dua buah rumah kayu di Jalan Sungai Terah itu musnah 100 peratus dalam masa hanya kira-kira 10 minit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Baca juga: Tiada lagi rawatan, pemergian kanak-kanak ditangisi kakitangan hospital