Sakit perut disangka senggugut, rupa-rupanya gadis hidap kanser tahap empat

Oleh KIM SYAZIE

Seorang ibu tidak menyangka kesakitan di bahagian perut yang dialami anak gadisnya adalah petanda dia menghidapi kanser buah pinggang tahap empat.

Malang tidak berbau, anak yang berumur 18 tahun itu dulunya harapan keluarga, kini terlantar lemah di rumah akibat penyakit yang dihidapinya.

Menurut ibunya, Nur Ayu Mas Aiza mula mengalami sakit perut yang teruk pada awal Januari lalu, namun menyangka ianya hanyalah senggugut.

Sempat menjalani pemeriksaan beberapa kali di klinik kesihatan, doktor mulanya mendapati Nur Ayu berada di dalam keadaan yang baik.

Namun, semuanya berubah apabila pemeriksaan ultra bunyi atau ultrasound dilakukan dan anaknya disahkan menghidap barah dan sudah berada pada tahap empat.

Ibunya kini redha menerima ketentuan Ilahi

“Allah sahaja yang tahu perasaan ini apabila doktor memaklumkan tiada rawatan boleh diberikan kepada anak saya,” kata ibunya, Sarunam Adnan.

Menurutnya, akibat organ dalaman yang sudah bengkak dan mengeras, anaknya itu hanya mampu menelan sesuap dua makanan.

“Hendak bercakap pun tidak cukup nafas apatah lagi bergerak. Sel kanser merebak pantas dan Nur Ayu hanya mampu bertahan dengan ubat tahan sakit.

“Di depan orang, dia tidak tunjuk sakit, namun apabila bersendirian, dia lepaskan semuanya dengan menangis,” tambah ibunya.

Baca juga: Makan beratus-ratus tapi pelanggan ‘lupa’ nak bayar, gaji pelayan restoran pula nak dipotong