Isteri tak mahu dakwa suami walaupun dipukul semasa ‘live’

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang lelaki di Sepanyol menampar isterinya yang sedang bersiaran langsung menyebabkannya ditahan pihak berkuasa.

Suspek dikenakan hukuman penjara setahun walaupun mangsa enggan membuat laporan terhadapnya.

Portal NDTV melaporkan, mahkamah di bandar utara Soria mendapati lelaki itu bersalah atas keganasan terhadap wanita.

Justeru itu, suspek dilarang berada dalam lingkungan 300 meter dari isterinya atau berkomunikasi dengannya selama tiga tahun atau memperoleh senjata sepanjang tempoh sama.

“Defendan menyerang isterinya secara terbuka di hadapan ribuan penonton, dengan tujuan menjatuhkan maruah dan mengaibkannya di khalayak ramai.

“Tiada keperluan untuk aduan daripada mangsa dalam jenayah keganasan jantina. Tertuduh harus dihukum sebaik sahaja didapati dengan jelasnya melakukan kesalahan berkenaan.

“Menampar secara langsung sudah memadai untuk pihak berkuasa bertindak dan melindungi mangsa, tidak kira sama ada dia (mangsa) merelakannya,” katanya.

Walaupun wanita itu menolak untuk mendakwa suaminya, mahkamah mendapati pernah ada perselisihan antara tertuduh dan isterinya yang membuktikan terdapat penganiayaan berterusan.

Kerajaan Sepanyol berusaha memerangi keganasan rumah tangga sebagai keutamaan.

Baca juga: Nampak bos datang, pekerja terus ‘busy’ buat kerja