‘Sambil menyelam, minum air’. Perumpamaan itu sesuai dituju kepada gaya bersahaja Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menjadi tumpuan di Dewan Rakyat semalam.
Ini kerana ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di peringkat dasar, Syed Saddiq sempat memacakkan tiga telefon bimbitnya bagi merakam ucapannya ketika sesi perbahasan.
Mungkin ada yang tidak tahu, tapi ianya sudah menjadi kebiasaan bagi bekas menteri belia dan sukan itu yang sentiasa dilihat memanfaatkan kecanggihan teknologi dan kelebihan ‘ruang maya’ untuk mendekati segenap masyarakat.
Malah, di jaketnya juga tersemat tiga mikrofon ‘bluetooth’ bagi merakam suaranya.
Tindakan Syed Saddiq itu mendapat pujian Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang berpendapat ia sebagai langkah yang baik untuk mendekati pengguna media sosial di Instagram dan TikTok.
Bagaimanapun ada juga netizen yang tertanya adakah bersiaran langsung sambil berbahas dibenarkan di Dewan Rakyat.
Menurut Syahredzan yang juga seorang peguam, tiada yang salah berkenaan hal itu.
“Dia (Syed Saddiq) lakukan ini untuk Parlimennya di Muar. Bersiaran langsung ketika sesi perbahasan, tiada yang salah dengan itu,” jelasnya.
Baca juga: “Sampai tak cukup tangan nak layan”, peniaga bersyukur jualan laku lepas jual Menu Rahmah RM5