KPDN laksana Ops TIRIS tangani ketirisan subsidi diesel

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops TIRIS selama enam bulan bermula  hari in sehingga 31 Ogos depan bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan dan sampai ke pihak yang layak menerimanya.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof, berkata operasi itu diputuskan hari ini dalam mesyuarat pertama pasukan bertindak yang dianggotai pelbagai agensi bagi menangani isu ketirisan subsidi hampir RM10 bilion.

Beliau berkata, diesel bersubsidi dijual di stesen minyak pada harga kawalan iaitu RM 2.15 seliter.

“Faktor harga yang murah ini dan bekalan yang mudah diperolehi merupakan faktor utama peningkatan permintaan daripada industri sama ada untuk kegunaan domestik mahupun untuk dieksport.

“Kedudukan geografi dengan negara jiran juga turut mempengaruhi aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata dua jawatankuasa turut ditubuhkan bagi pelaksanaan OPS TIRIS itu iaitu Jawatankuasa Pemandu (JKP) bagi penetapan dasar yang dipengerusikannya.

“Jawatankuasa Teknikal (JKT) melibatkan urusan pelaksanaan operasi yang dipengerusikan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam,” katanya.

Katanya, antara agensi terbabit adalah Kementerian kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Kastam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Azman berkata KPDN sentiasa memperkasakan penguatkuasaan di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, sempadan, kawasan perindustrian atau eksport, bandar serta luar bandar.

 Katanya, berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDN sejak 2019 sehingga Januari lepas, sebanyak 3,085 kes dikesan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN bagi pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melibatkan barang-barang kawalan dengan nilai rampasan sebanyak RM82.56 juta.

“Sejumlah 1,411 kes membabitkan barang kawalan diesel dan petrol dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 27.9 juta dalam tempoh yang sama,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu memaklumkan wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion yang diseleweng tahun lalu.

 — BERNAMA

Baca juga : Kerajaan akan pastikan infrastruktur di Sabah dan Sarawak bersempadan Kalimantan bernilai strategik