Forex untuk berdagang bukan berjudi, lelaki kesal lihat ramai nak pinjam duit untuk ‘trading’

Oleh KIM SYAZIE

Ketika orang ramai mengeluh kerana ekonomi hingga tak mampu membeli makanan, ada insan yang leka dalam dunia perdagangan Forex.

Apabila dapat gaji, segalanya dihabiskan untuk dijadikan deposit, malah sanggup nak berhutang hanya kerana Forex.

Seorang pemuda di Facebook, Mat Duan Takdok meluahkan rasa kesal melihat orang ramai menghantar mesej untuk minta bnatuan daripada bentuk kewangan untuk berdagang atas talian.

Lebih mengecewakan yang meminta bantuan ini rata-rata terdiri daripada kalangan ‘Trader Forex’.

“Ramai-ramai yang mesej saya nak mintak bantuan sebab nak beli makanan, bukan daripada orang awam yang hilang pekerjaan tapi majoriti datang dari kalangan Trader Forex.

“Ada yang duit gaji semua digunakan untuk depo. Bulan depan dapat gaji, depo lagi. Ada yang dah berbulan tak bayar duit sewa. Ada yang merayu nak pinjam duit, sebab nak buat depo.

“Ada kawan yang kerja dalam broker pun pm saya nak pinjam duit, sebab semua duit gaji dan komisen digunakan untuk depo dan jahanam.

“Mana hilang akal korang semua. Ini platform untuk berdagang, bukan untuk berjudi,” ujarnya.

Seorang pengguna Facebook,Juhari Hamid, yang pernah terlibat dalam Forex, mengakui ia mampu menyebabkan ketagihan.

“Maaf cakap tapi benda ini ketagih macam judi juga, aku baru setahun dapat buang ketagih depo, sejak kenal Forex dari tahun 2009 lagi.

“Mana tak hilang akal kawan, bila buka Facebook sana sini tunjuk keuntungan mereka dan tanam dalam minda Forex ni boleh buat duit dengan mudah,” katanya.

Memanglah bila lihat senang dapat duit, habis kabur mata semua orang hingga akhirnya memakan diri sendiri.

Baca juga: Pasangan berhutang dengan kad kredit, boleh pula ‘mengemis’ di media sosial