Sebuah rakaman yang memaparkan seorang lelaki meredah arus banjir deras tanpa menghiraukan keselamatan dirinya tular di media sosial baru-baru ini.
Rupa-rupanya lelaki itu ingin menghantar bantuan khususnya makanan kepada mangsa yang terkandas akibat fenomena alam itu.
Menerusi video yang dimuat turun di aplikasi TikTok itu, lelaki berkenaan terpaksa memegang tali bagi mengelakkan dirinya dibawa arus deras.
Difahamkan, lelaki yang dikenali sebagai Abang Salleh itu menghantar bekalan makanan kepada mangsa yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Johor.
Rata-rata pengguna media sosial kagum dan mendoakan Abang Salleh serta mereka yang menempati Sekolah Menengah Kebangsaan Chaah itu selamat.
“Unsung Hero Abang Salleh. Sampai muka pun tak berdaya nak bertahan kat arus tu untuk bagi bantuan makanan orang-orang dekat PPS.
“Dari air paras betis sampai dah paras pinggang. Arus kuat sangat,” tulis perakam video yang memuat naik video berkenaan, @zurainiswarno.
Setakat ini, video yang tular itu telah mendapat 2 juta tontonan dan 86,000 tanda suka dari pengguna TikTok.
Diharapkan fenomena banjir yang melanda Malaysia segera surut dan mereka yang ingin menghulurkan bantuan perlu mengutamakan keselamatan mereka terlebih dahulu.
Baca juga: Gelar Anwar ‘bapa saman negara’, MP Pas diheret ke mahkamah