Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan ada anggota penguatkuasanya ‘panas punggung’ dengan tindakan tegas SPRM ‘mengutip’ individu terkait rasuah.
Pengarah Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, pihaknya bertegas tidak akan melepaskan mana-mana kakitangan penguatkuasanya terlibat dengan rasuah,
Menurutnya, ketua jabatan perlu memantau jika ada antara anggota bawahan hidup terlalu mewah hingga menimbulkan curiga.
“Jika ada yang pakai kereta BMW, motosikal Harley-Davidson, kerap bercuti ke luar negara sedangkan pendapatan di bawah RM5,000, maka perlu siasat.
“Begitu juga anggota yang ada masalah hutang serius. Ini menyebabkan golongan terbabit sanggup mengambil rasuah untuk melangsaikan hutang,” katanya memetik laporan Harian Metro baru-baru ini.
Beliau berkata demikian mengulas berkenaan Op Tunda bagi memberkas anggota dan pegawai agensi Jabatan Perikanan (DOF), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terbabit dengan rasuah.
Lapor Harian Metro, SPRM telah melakukan Op Tunda di utara tanah air sejak Isnin lalu, dengan 11 anggota dan pegawai pelbagai pangkat ditahan reman untuk siasatan SPRM.
“Ada antara mereka mula menerima rasuah dari ‘tauke’ bot nelayan dan pemilik sangkar ikan sejak 2015 lagi. Ini amat serius.
“Tindakan ambil rasuah ini membawa kesan lebih buruk apabila penggunaan pukat tunda atau pukat gading oleh nelayan mengakibatkan kemusnahan besar kepada eko-sistem dan hidupan marin.
“Ini akhirnya menyebabkan hidupan laut sekitar perairan negara pupus, sekali gus menjejaskan jaminan bekalan makanan kepada rakyat. Begitu juga isu penggunaan pendatang haram sebagai pekerja di jeti nelayan atau sangkar ikan, ini akhirnya membawa kepada banyak implikasi buruk termasuk jenayah,” katanya.
Atas sebab itu, beliau mencadangkan penggiliran tugas dalam kalangan penjawat awam terutama membabitkan jawatan sensitif di lokasi menjadi ‘lubuk’ rasuah dilakukan.
Beliau juga mendedahkan ada antara mereka dikesan sebelum ini membocorkan maklumat operasi, sekali gus membolehkan nelayan pukat tunda tidak turun ke laut.
“Paling lama (bertugas) lima tahun. Mereka perlu ditukar ke tempat lain supaya amalan rasuah dapat dielak,” katanya.
Baca juga: Gelar Anwar ‘bapa saman negara’, MP Pas diheret ke mahkamah