Penyokong Pas kecam kerajaan kerana benar konsert Blackpink? Netizen korek rupanya PN yang luluskan

Oleh KIM SYAZIE

Selepas 5 tahun, akhirnya peminat dan penyokong kumpulan Kpop Blackpink berjaya bertemu muka lagi bersama idola mereka dan menyaksikan sendiri persembahan artis Korea berkenaan semalam.

Dihadiri lebih 65,000 orang, konsert itu bagaimanapun mengundang cakap-cakap tidak senang terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana penyokong parti pembangkang didakwa melemparkan bermacam kecaman terhadap kerajaan Anwar ekoran kebenaran penganjuran konsert kumpulan Blackpink di Malaysia.

Namun untuk pengetahuan, promosi bagi persembahan artis Korea itu berlaku sejak Perikatan Nasional (PN) berkuasa iaitu sekitar Ogos 2022.

Ketika itu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Duta Timur Tengah dan beberapa menteri Pas berada di dalam Kabinet kerajaan.

Memetik Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Hisyamuddin Ghazali, kerajaan dengan gagasan Malaysia Madani tidak patut dipersalahkan atas kelulusan konsert itu kerana ia diluluskan sejak PN memerintah.

“Konsert BlackPink International ini diiklankan di media sosial sejak 8 Ogos 2022 lagi. Waktu PN berkuasa. Kenapa nak salahkan Malaysia Madani?

“Iaitu waktu Presiden Pas jadi Duta Timur Tengah; Timbalan Presiden Pas, Naib Presiden Pas dan Setiausaha Agung Pas jadi Menteri. Malah, Menteri dan Timbalan Menteri Agama juga dari Pas.

“Bekas Menteri Komunikasi pula rakan baik Pas dalam PN sekarang,” katanya yang juga dikenali sebagai Syam Ghaz.

Kebenaran persembahan Blackpink diberi sejak 2022

Sementara itu Syam Ghaz yang juga bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menempelak sikap Pas dalam Perikatan Nasional (PN) ketika berkuasa.

“Waktu kamu ada kuasa, kamu tak laksana dan jaga kesucian Islam. Kamu hanya reti bercakap, gunakan sentimen agama untuk menang PRU15, tapi bila ada kuasa tak buat pun!” tegasnya.

Syam Ghaz berkata demikian ketika mengulas trend penyokong Pas yang mengecam kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran penganjuran konsert kumpulan yang popular dengan lagu Pink Venom itu.

Baca juga: Jika anggota bawahan hidup terlalu mewah, pakai BMW, kerap bercuti luar negara, perlu disiasat!