Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa kerajaan tidak memberi peruntukan kepada pembangkang.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, sudah menjadi pendiriannya sejak dahulu untuk memberi peruntukan yang sama rata.
Namun begitu, belum ada sebarang rundingan dari pihak pembangkang mengenai peruntukan yang diperlukan negeri yang terlibat.
Menurutnya, kerajaan bersedia memberi peruntukan melalui proses perbincangan bagi mengetahui keperluan semasa rakyat.
“Jadi saya usulkan mulakan proses rundingan dan saya arahkan Ketua Whip dan menteri yang berkenaan berunding dan kita (akan) putuskan.
“Kalau cepat selesai (rundingan) cepatlah lulus. Kalau esok, lusa kita boleh lulus,” katanya ketika di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata demikian sewaktu menjawab soalan ahli Parlimen Arau ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak mahu bersikap zalim seperti kerajaan pimpinan terdahulu.
“Kerajaan kita hari ini Madani, jadi kalau yang dulu Pagoh tidak adillah itu maksud Arau? Sebab Arau kata jangan ikut pengalaman lama.” Soal Anwar.
Terdahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim bertanya soalan tentang permintaan ahli parlimen pembangkang yakni peruntukan RM300,000.
Menurutnya, peruntukan terbabit penting khususnya bagi membantu negeri-negeri yang terjejas dengan fenomena banjir.