Sekumpulan penyokong Perikatan Nasional (PN) dijangka akan menunjukkan bantahan di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.
Ia susulan pengesahan pengerusi parti itu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang memaklumkan akan hadir ke SPRM jam 11 pagi nanti.
Menerusi laman kumpulan Facebook ‘Friends of Tuan Ibrahim Tuan Man group’, penyokong-penyokong diminta untuk hadir beramai-ramai ke pejabat SPRM pada jam 9 pagi ini.
Namun Malaysia Dateline tidak dapat memastikan sama ada protes tersebut akan benar-benar digerakkan atau tidak.
“Diminta sahabat seperjuangan semua, panglima perang parti dan ahli-ahli parti serta penyokong PN di seluruh negara untuk Hadir beramai-ramai ke Pejabat SPRM Putrajaya bagi menunjukkan protes ke atas penahanan Mahiaddin (abah prihatin negara).
“Semboyan telah berbunyi, mereka takut dengan undian bajet esok. Mereka takut kerajaan akan tumbang, maka pelbagai kaedah dilakukan untuk menindas kita rakyat yang susah dan marhaen.
“Minta gerakkan sepenuhnya kekuatan jentera yang ada untuk hadir bersama-sama, kalau perlu tidur kita tidur, kalau perlu menongkah arus lawan tetap lawan,” tulis salah seorang peserta laman kumpulan Facebook berkenaan.
Sejak semalam tersebar khabar mengatakan Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, telah ditahan SPRM ketika sedang bermain golf
Presiden Bersatu itu bagaimanapun menafikan hal berkenaan, memaklumkan beliau sebenarnya menghadiri ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula esok.
“Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi,” kata Mahiaddin dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Baca juga: Setiausaha akhbar nafi Mahiaddin ditahan ketika main golf