Suami yang mempunyai akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh menyalurkan dua peratus dari caruman mereka kepada isteri.
Diberi nama i-Sayang, inisiatif itu diperkenalkan KWSP dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif ini akan menggalakkan rakyat untuk menabung dana pesaraan mereka.
i-Sayang juga memberi manfaat kepada mereka khususnya isteri yang tidak mempunyai skim keselamatan sosial formal.
“Mencarum secara sukarela sebanyak dua peratus caruman bulanan, mereka memberikan peluang kepada isteri untuk mempunyai simpanan jangka masa panjang.
“Seterusnya, isteri juga memperoleh akses kepada keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti sepertimana yang dinikmati oleh ahli KWSP,” katanya.
Namun begitu, pemindahan automatik dari akaun suami melalui caruman majikan itu perlulah dipohon suami secara sukarela.
Pemindahan caruman pada setiap bulan itu juga tidak boleh dibatalkan kecuali berlakunya penceraian atau kematian isteri.
Permohonan i-Sayang boleh dibuat secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (ahli), Self-Service Terminal (SST) KWSP atau di mana-mana cawangan seluruh negara.
Baca juga: Ismail Sabri gesa benarkan pengeluaran KWSP, rakyat bimbang terpaksa kerja bila tua