Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Mahiaddin Yassin, dijangka akan menghadapi enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Putrajaya esok.
Ini membabitkan empat salah guna kuasa dan dua kesalahan pengubahan wang haram.
Bagi kesemua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Subseksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).
Sementara itu satu sumber ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara berkenaan lapor Kosmo.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa di mahkamah pagi esok.
Pendakwaan ini dipercayai berkaitan kes salah guna dana awam program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik Covid -19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.
Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN yang diterajui Mahiaddin.