Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan cadangan kerajaan untuk mewujudkan ‘pasar raya mampu milik’ mungkin tidak akan berjaya.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) melihat cadangan untuk mewujudkan pasar raya yang menjual barangan mampu milik.
Ini adalah selepas menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, melihat Jualan Rahmah yang diperkenalkan kerajaan mendapat sambutan menggalakkan.
Salahuddin juga berkongsi negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) mempunyai pasar raya seperti itu dan ia memberi banyak manfaat kepada golongan memerlukan.
Memetik FMT, Wan Fayhsal bagaimanapun ragu-ragu cadangan itu boleh dilaksanakan malah mencadangkan agar caj minimum perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan dinaikkan.
Warganet bagaimanapun tidak bersetuju dengan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu malah melihat idea pasar raya mampu milik adalah bagus untuk rakyat.
“Haaa dia tak setuju maksudnya ini idea bagus. Kalau menjadi, kos sara hidup menurun gembira. Teruskan. Jangan teruskan cadangannya untuk naikkan kos minimum perubatan.
“Orang bijak berpengalaman pernah memberitahu saya, lakukan sebaliknya apa yang disuruh oleh seseorang yang anda tidak percayai,” ujar @FattKhim.
“Ni la masalah orang kita, benda belum buat dah canang tak berjaya. Habis tu kau ingat idea cetak duit berlambak-lambak tu idea paling bernas ke macam mana?,” ujar @yazidyunus3.
Baca juga: Jawab di mahkamah, pertuduhan pun sudah dikeluarkan – Anwar