Pelakon Uqasha Senrose terkejut melihat suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli cedera parah selepas diserang individeu tak dikenali di Singapore Exspo Hall, Singapura, semalam.
Insiden tersebut dikatakan berlaku semasa sesi bergambar, tiba-tiba individu terbabit datang dan memukul Kamal dengan cotar dan senjata tajam.
“Ketika kami bergambar bersama seorang peminat, seorang lelaki tiba-tiba memanggil nama Kamal sebelum memukulnya berkali-kali di bahagian kepala, muka dan badan dengan cotar dan senjata tajam sehingga cedera parah.
“Kejadian tersebut berlaku di depan mata saya. Kami tidak kenal pun lelaki tersebut,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Dalam pada itu, Uqasha memaklumkan individu tersebut sudah ditahan pihak polis Singapura. Apabila disoal mengapa menyerang Kamal, individu tersebut mengaku ada isu peribadi.
“Kemudian, katanya dia ada isu peribadi dengan Kamal dan bila ditanya lagi, dia beritahu bahawa dia cemburu apabila Kamal berkahwin dengan saya.
“Hal yang menjadi kerisauan kami, dia sempat memberikan ugutan kepada kami. Katanya, dia ingat wajah kami termasuk adik beradik saya dan akan menanggung akibatnya.
“Kalau dia ada cota dan senjata tajam, tak mustahil dia ada senjata api juga. Depan polis pun dia berani berikan ugutan,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai keadaan terkini Kamal, Uqasha memaklumkan bahawa suaminya perlu menjalani pembedahan kerana luka yang besar dan panjang.
“Saya sedih kerana Kamal perlu jalani pembedahan, sebab belakang kepala luka panjang. Mungkin dia kena ditidurkan.
“Saya tak boleh nak masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma boleh buat laporan polis di Singapura,” katanya lagi.
Baca juga: Beri tempoh 48 jam, ini sebenarnya yang Hafidz Roshdi mahu dari isteri