Guna TikTok jual Hot Wheels, murid 12 tahun ini jana pendapatan cara tersendiri

Oleh MALAYSIADATELINE

Usia muda tidak menghalang Muhammad Khairie Danish Kamal Ariffin, 12, dari Kampung Baru Seberang Takir untuk menjana pendapatan sendiri melalui jualan kereta mainan Hot Wheels.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir itu juga bijak memanfaatkan sepenuhnya aplikasi TikTok yang terbukti sebagai platform perniagaan yang efisien.

Muhammad Khairie Danish berkata idea untuk menjual kereta mainan tersebut timbul selepas mendapati ramai peminat barangan itu di Terengganu.

“Sekarang ini dah timbul balik kereta Hot Wheels…. dah jadi fenomena. 

“Ramai orang cari kereta Hot Wheels untuk buat koleksi kerana bentuknya yang cantik dan hampir serupa dengan reka bentuk kereta asal yang diinspirasi,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Baru Seberang Takir di sini hari ini.

Muhammad Khairie Danish berkata dia mula berniaga pada awal cuti persekolahan Februari lepas melalui rakaman video secara langsung di aplikasi TikTok menggunakan modal sendiri sebanyak RM100.

Usaha anak kedua daripada empat beradik itu mendapat galakan ibu bapanya dan setakat ini dia sudah mengumpul jualan sebanyak RM700.

“Harga kereta mainan yang saya jual antara RM10 hingga RM120. Setakat ini dah jual lebih 20 buah dan dapatlah RM700. Duit ini sebahagiannya saya nak guna untuk pusing modal dan sebahagian lagi nak beli barang kelengkapan sekolah.

“Harapnya dapatlah kurangkan sedikit beban mak ayah kerana saya ada tiga lagi adik beradik lain yang bersekolah… ayah pun kerja bawa teksi sahaja,” katanya yang mendapatkan stok kereta mainan Hot Wheels daripada seorang pembekal dari Kuala Terengganu.

— BERNAMA

Baca juga: