Tak dapat penuhi jemputan ceramah, Ustaz Kazim Elias dedah tiada tauliah di Selangor

Oleh KIM SYAZIE

Penceramah popular, Ustaz Kazim Elias membuat pengakuan bahawa beliau tidak mempunyai tauliah untuk berceramah di Selangor.

Pendedahan tersebut dibuat setelah beliau terpaksa menolak undangan untuk menyampaikan ceramah di negeri terbabit.

Menurutnya, sebelum ini dia menggunakan kebenaran sementara yang diperoleh daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kebenaran tersebut dipohon oleh pihak yang bertanggungjawab mengundangnya untuk mengadakan kuliah di negeri itu.

Namun, akur dengan larangan ceramah tanpa tauliah yang dikuatkuasakan JAIS, Ustaz Kazim tidak lagi akan menerima jemputan daripada negeri itu.

“Atas kesedaran bahawa saya tidak mempunyai tauliah maka saya tidak dapat menerima semua jemputan daripada pihak masjid dan surau di Selangor.

“Kerana ini adalah peraturan dan undang-undang. Sesiapapun kita, kita perlu mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya.

Ustaz Kazim turut mencadangkan agar rakyat Selangor mengikuti kuliahnya secara atas talian di media sosial sahaja.

Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz sebelum ini menegaskan agar mereka yang ingin berceramah di negeri itu perlu memohon tauliah terlebih dahulu.

Katanya tiada jalan pintas buat mereka yang popular dan pengiktirafan tauliah dari negeri lain turut tidak boleh diguna pakai di Selangor.

Baca juga: Rupa-rupanya hanya seorang wakil rakyat Terengganu ada tauliah ceramah