Rezeki terpijak! Itu yang boleh digambarkan terhadap situasi seorang individu yang menemui berkeping-keping duit not RM50 dan RM20 di laluan pejalan kaki di ibu negara.
Rakaman video menunjukkan beberapa keping wang kertas dijumpai berselerak sepanjang laluan pejalan kaki di Kuala Lumpur itu dikongsi berkali-kali di sosial media.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Jalan Ampang, Kuala Lumpur berhampiran Menara Berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Menerusi rakaman berdurasi 16 saat yang tular di media sosial, menunjukkan seorang lelaki mengutip beberapa nilai wang kertas seperti not RM5, RM10, RM20 dan RM50.
“Jangan tamak, tinggalkan untuk orang lain juga, baiklah nak pergi vakum sekejap,” ulas individu tersebut.
Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi berbeza dilontarkan oleh orang ramai.
Ada yang menggambarkan situasi tersebut seperti ‘hujan duit’ atau peristiwa ‘duit dari langit’ kerana secara tiba-tiba dijumpai berselerak sepanjang laluan pejalan kaki itu.
Namun, ada di antara mereka beranggapan kejadian tersebut merupakan satu ‘content’ media sosial yang sengaja dirancang oleh seseorang.
“Kalau nak buat ‘content’ kongsi rezeki, jangan la buang duit atas lantai, nak bantu orang jangan nampak pula yang dibantu itu seperti pengemis tanpa maruah,” komen pengguna Facebook.
“Daripada tabur macam itu, baik jumpa orang susah sedekahkan dengan cara lebih sopan dan beradab,” tegur yang lain.
Baca juga: Ada pihak mahu bangkit sentimen agama dan kaum, PM arah pasukan keselamatan bersiap sedia