Rupanya ada ‘ayahanda’ Bazar Ramadan ambil untung berlipat kali ganda atas angin, habis terdedah semua

Oleh KIM SYAZIE

Apabila tiba bulan Ramadan maka ada yang mengambil kesempatan dengan menyewakan tapak pada harga lebih tinggi.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan ada individu atau ejen bergelar ‘Ayahanda’ yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan menjual tapak bazar.

Individu itu didakwa membolot tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri yang diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Lebih mengejutkan pihak ini menjual pula kepada pihak ketiga dengan harga yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyiasat dakwaan individu atau ejen bergelar ‘Ayahanda’ tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, terdapat dua tempat anjuran dan seliaan pihaknya.

Dua bazar tersebut adalah, bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) serta bazar Ramadan di tempat letak kereta Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak.

Katanya, bazar Rahmah lot 4 @ Lorong TAR dan Jalan Gereja, Dataran Merdeka adalah seliaan persatuan.

“Selain itu, bazar Ramadan di 63 lokasi lain juga adalah selian persatuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro.

DBKL dikatakan sudah melaksana pelbagai inisiatif antaranya menyediakan borang khas untuk pengisytiharan kadar caj dan bilangan peniaga di kawasan yang diselia.

Ini adalah untuk memudahkan kawalan, pemeriksaan dan pemantauan.

“Kadar bayaran yang dikenakan bagi bazar seliaan DBKL adalah sebanyak RM980 bagi bazar Ramadan dan RM1,980 bagi bazar Aidilfitri.

“Kadar bayaran ini adalah termasuk fi lesen, caj perkhidmatan pembersihan, sewa tapak dan pembekalan kanopi yang akan diberikan terus kepada peniaga,” katanya.

Tegasnya, jika terdapat pelanggaran syarat bagi lokasi di bawah seliaan DBKL, tindakan kompaun akan dikenakan.

“Dan jika terdapat kes ‘sublet’ atau penjualan semula petak niaga, peniaga itu akan disenarai hitamkan.

“Bagi kes-kes pelanggaran syarat di bawah seliaan persatuan, tindakan pemotongan deposit dan kompaun turut diambil,” katanya.

DBKL turut memaklumkan pihaknya menyambut baik cadangan yang dikemukakan bagi menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada warga kota.

“Cadangan untuk menyenarai hitamkan individu, persatuan yang melanggar syarat atau menyalahgunakan kelulusan penganjuran sudah dilaksanakan oleh DBKL.

“Begitupun, pemantauan dari semasa ke semasa akan sentiasa dilakukan dan diperketatkan.

“Ini supaya tiada mana-mana pihak terbeban dengan kos tambahan yang wujud disebabkan salah laku daripada individu, persatuan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Baca juga: Murid nak beli nasi tapi tak cukup RM1, cara abang kantin ini bagi nasi ‘free’ buat ramai sebak