Sekolah pondok di Indonesia masih buat solat terawih ‘express’, 23 rakaat cuma 7 minit sahaja

Oleh KIM SYAZIE

Di Indonesia, sebuah sekolah pondok di Jawa Timur mungkin ‘pemegang rekod’ sembahyang tarawih dan witir paling laju dalam dunia.

Pelajar di sekolah pondok itu difahamkan masih lagi melaksanakan solat tarawih ‘express’ iaitu sebanyak 20 rakaat dan tiga rakaat witir dalam masa tujuh minit sahaja, lapor portal berita Agensi.

Imam solat tarawih akan membacakan surat al-Fatihah dan surah-surah pendek, manakala lafaznya pula dipercepatkan.

Pada 2015, video ibadat sunat itu pernah tersebar meluas di Internet sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dan perbincangan hangat di media sosial.

Pondok Mambaul Hikam merupakan salah satu pusat pengajian al-Quran tertua di Kabupaten Blitar yang didirikan oleh Kiyai Abdul Ghofur pada tahun 1907 dan solat tarawih pantas sudah berlangsung sejak ia didirikan.

Ia kini mempunyai ribuan pelajar dari seluruh Indonesia.

“Tradisi solat tarawih cepat ini sudah berlangsung lama. Dicetuskan oleh datuk saya iaitu pendiri pondok ini,” kata Kiyai Muhammad Dliya’uddin Azzamzam yang merupakan cucu Abdul Ghofur dan pengajar di sekolah tersebut.

Lapor Agensi lagi, Dliya’uddin menjelaskan bahawa solat tarawih yang dilaksanakan sama seperti solat tarawih pada umumnya termasuk jumlah rakaat hingga pada bacaannya.

“Semua dilaksanakan rukun-rukunnya. Ertinya tidak ada yang salah, sesuai syariat dan tuntunan agama. Hanya saja bacaan dan gerakannya dipercepatkan,” jelas Dliya’uddin.

Baca juga: Berdekah tengok Sajat bagi tips untuk wanita nak bercerai pergi mahkamah