Mahkamah Singapura tak benar penyerang Kamal Adli diikat jamin

Oleh KIM SYAZIE

Kes pelakon, Kamal Adli dipukul di Singapura sebelum ini tular hingga mendapat perhatian banyak pihak yang terkejut dengan kejadian tersebut.

Terbaru, Mahkamah Singapura dikatakan tidak membenarkan lelaki yang didakwa menyerang pelakon tersebut daripada diikat jamin.

“Berdasarkan laporan Institut Kesihatan Mental (IMH), saya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin,” kata Hakim Daerah Brenda Tan hari ini.

Hakim bersetuju terhadap permohonan pendakwaan untuk tidak menawarkan ikat jamin

Kes juga ditangguhkan selama empat minggu bagi membolehkan pegawai penyiasat melengkapkan siasatan.

“Kes ini ditangguhkan selama empat minggu kepada 2 Mei,” kata Tan.

Tertuduh sebelum itu direman tiga minggu di IMH untuk pemerhatian psikiatri lapor Harian Metro.

Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac atas pertuduhan “disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya”.

Mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang hadir di mahkamah, membantah permohonan pendakwa raya untuk tidak membenarkan dia diikat jamin.

Tertuduh yang ditanya Tan berhubung bantahannya, berkata semakan IMH mendapati dia “berkelakuan dan bertingkah laku baik.”

“Jadi saya tidak nampak kenapa saya tidak diberi tawaran jaminan,” kata tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Tan menangguhkan kes itu selama kira-kira tiga minit bagi membolehkan mahkamah membaca dua perenggan, khususnya 18 dan 21 dalam laporan IMH, kepada tertuduh.

Tertuduh yang memakai baju-T hitam kemudiannya berkata “tidak semua dalam perenggan 18 dan 21 adalah benar…saya tidak setuju.”

Pada 12 Mac kira-kira 9.19 malam, Polis Singapura menerima maklumat mengenai kes tertuduh didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton di 1 Expo Drive.

Baca juga: Kepala Kamal Adli bocor selepas dibelasah di Singapura, kini ditidurkan oleh doktor