Stesen televisyen Fox News adalah salah sebuah perniagaan yang dikawal oleh Rupert Murdoch. Beliau berasal dari Australia dan kini menjadi warganegara Amerika. Pandangan beliau berhaluan kanan.
Apabila Donald Trump kalah di dalam pilihanraya presiden Amerika tahun 2020, Fox News telah menyiarkan berita-berita seolah-olah pilihanraya berkenaan telah dimanipulasi untuk memenangkan Joe Biden.
Di antara tuduhan yang dilemparkan ialah alat mengira undi yang dibekalkan oleh Dominion telah menukar undi dari Trump kepada Biden.
Tidak ada bukti yang dibawa tetapi hanya berdasarkan tuduhan-tuduhan orang-orang yang menjadi orang kuat Trump.
Akhir Dominion telah menyaman Fox News berjumlah $1.6 bilion di atas kesalahan defamation (kalau dalam bahasa Melayu mungkin fitnah walaupun fitnah ini tidak sama dengan konsep fitnah di dalam Al Quran).
Di dalam proses “discovery” yang mana Dominion telah memperolehi pelbagai dokumen dari Fox News, muncul bukti-bukti bahawa Fox News tahu bahawa tuduhan ke atas Dominion itu palsu.
Namun, demi menjaga hati penonton-penonton Fox News yang kebanyakannya adalah penyokong Trump, pembaca-pembaca berita Fox News seperti Tucker Carlson dan Sean Hannity bersungguh-sungguh mempromosi teori konspirasi Dominion walaupun di sebalik tabir dan di atas kertas mereka menyatakan bahawa tuduhan ke atas Dominion adalah bodoh dan palsu.
Di dalam satu emel, Suzanne Scott yang merupakan CEO Fow News, telah mengarahkan sebarang pengesah fakta adalah buruk untuk perniagaan (fact-checking is bad for business). Malah, satu dokumen yang mana beberapa fakta ditutup oleh Fox News telah diarahkan oleh hakim supaya dizahirkan sepenuhnya.
Ini berkenaan dapatan kajian dalaman Fox News yang menyatakan bahawa tuduhan Dominion memanipulasi undi adalah palsu.
Di Amerika, pemain berita dilindungi oleh Pindaan Pertama (first ammendment) perlembagaan Amerika berkenaan kebebasan bersuara.
Amat susah mahkamah mahu melayan kes seperti yang dibawa oleh Dominian ini. Tahap bukti yang diperlukan untuk menyaman syarikat berita amat tinggi.
Namun di dalam kes ini hakim telah menetapkan supaya kes ini dibicarakan. Alasan hakim ialah apa yang disiarkan oleh Fox News adalah propaganda yang tidak dilindungi oleh First Ammendment.
Saya berasa Fox News bukan satu-satunya organisasi berita yang memilih untuk menyiarkan apa yang mahu didengar oleh pengikutnya, bukannya fakta dan kebenaran.
Ini adalah kerana ramai penonton, pendengar dan juga pengikut bukannya berminat untuk mengetahui data dan fakta yang benar untuk dianalisa secara bebas.
Mereka mahu mendengar dan menonton apa yang serasi dengan pandangan dan kepercayaan mereka sahaja.
Kepelbagaian sumber berita yang ada menyebabkan manusia hidup di dalam “echo chamber” (bilik gema) masing-masing.
Itulah yang mereka pilih untuk didengari setiap hari. Bawalah hujah dan fakta sebanyak mana pun mereka tidak mahu menerimannya. Jadi, keta’asuban lebih mudah terjadi di era ini.
Keta’asuban ini bukan sahaja dieksploitasi untuk perniagaan tetapi digunakan untuk membina dan mengekalkan pengaruh di dalam aspek-aspek kehidupan yang lain seperti beragama dan berpolitik.
Apabila orang sudah ta’asub, mereka senang dimanipulasi demi kepentingan orang-orang yang mampu mengurung pengikut-pengikut di dalam bilik gema masing-masing.
Inilah pentingnya kita meminta supaya Allah membuka pintu hati kita kepada kebenaran yang hakiki, bukannya terpengaruh dengan naratif-naratif suci yang walaupun telunjuknya lurus tetapi kelingkingnya berkait.
– Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof
Sumber asal : Lapor apa yang pengikut nak dengar, bukannya fakta dan kebenaran
Baca juga :