Setiap tahun ada sahaja kes penduduk kampung berbuka puasa lebih awal dari waktu sepatutnya. Yang terbaru, kes ini berlaku di Semenanjung Malaysia di belah Utara.
Sebuah masjid di Pekan Yan Kedah, iaitu Masjid Jame’ Badlishah dilaporkan membuat kesilapan melaungkan azan Maghrib, dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.
Difahamkan, pihak pentadbir Masjid Jame’ Badlishah telah pun memohon maaf atas kesilapan tersebut, namun penduduk di kawasan itu telah dimaklumkan untuk mengganti puasa.
Menurut Timbalan Pengerusi masjid itu, Ustaz Ahmad Nasir, kesilapan tersebut adalah disebabkan masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid.
“Para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan dan puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqadha’.
“Begitulah pandangan Jumhur Ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’,” katanya dalam satu kenyataan rasmi masjid bertarikh 1 April lalu.
Baca juga: Kerja cuci pinggan tapi boleh naik Bentley, siapa wanita ini sebenarnya?