Rekod kutipan hampir RM100 juta, pelakon Mat Kilau tak terima bonus?

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Johan As’ari mendedahkan bahawa dirinya tidak pernah menerima bonus daripada pihak penerbit.

Johan yang membawa watak Yassin di dalam filem itu juga mengakui dirinya tidak lagi berhubung dengan penerbit, Studio Kembara Sdn Bhd.

Walau bagaimanapun, aktor yang berusia 37 tahun itu tidak mengetahui sama ada pelakon lain menerima nasib yang sama sepertinya.

“Saya memang tak dapat bonus pun daripada penerbit, tapi saya tidak tahu pula dengan pelakon lain,” kata pelakon yang terkenal menerusi drama Juvana itu.

Langsung tidak terkilan soal imbuhan itu, Johan bagaimanapun akui bahawa dia mungkin tidak akan bekerjasama lagi dengan syarikat berkenaan.

Hal ini kerana, Johan bimbang pihak penerbit mungkin tidak akan mampu menjelaskan bayaran yang bakal dikenakan nanti. 

“Saya bimbang penerbit tak mampu bayar saya kerana bonus filem Mat Kilau pun saya tak dapat,” seloroh bintang filem itu.

Johan juga tidak merasa kecewa apabila namanya tidak disenaraikan sebagai watak dalam filem prekuel Mat Kilau.

Terdahulu, penerbit iaitu Abdul Rahman Mt Dali pernah mengatakan hasrat untuk memberikan bonus kepada pelakon dan kru filem tersebut.

Keinginan itu diluahkan oleh Rahman yang juga merupakan Pengarah Urusan Studio Kembara pada Julai tahun lalu.

“Akan ada imbuhan yang munasabah, cuma saya belum tentukan jumlah yang akan diberikan kerana bergantung kepada keuntungan pada penghujungnya nanti,” katanya.

Baca juga: Kerja cuci pinggan tapi boleh naik Bentley, siapa wanita ini sebenarnya?