Kecewa cinta ditolak, lelaki tekad ‘hadiah’ sekilo daging babi kepada wanita Islam

Oleh KIM SYAZIE

Gara-gara terlalu taksub dan cinta kepada seorang wanita Muslim, seorang pelajar warga China di United Kingdom (UK) sanggup menghantar sekilo daging babi kepada ‘crush’nya itu yang juga merupakan rakan kampusnya.

Lelaki berkenaan dilapor bertindak sedemikian gara-gara cinta ditolak wanita tersebut.

Tidak cukup menghantar daging babi, lelaki bernama M (bukan nama sebenar) itu turut mengganggunya menggunakan 44 nombor telefon yang berbeza.

Memetik laporan Daily Mail, difahamkan M turut menyebabkan kecederaan fizikal kepada wanita itu sehingga dirinya takut untuk keluar rumah.

Malah M juga dilapor melakukan perbuatan jelik dengan menghantar mesej prejudis mengenai agama Islam kepada wanita tersebut.

Perasaan gila bayang M berterusan apabila dia tekad membelikan wanita itu hadiah (tanpa dipersetujui) seperti barangan runcit, cincin dan tiket penerbangan ke China.

Bagaimanapun disebabkan rasa begitu terganggu, mangsa (wanita itu) dilapor mengalami gangguan mental sehingga dirinya tidak dapat hadir ke kuliah selama dua minggu.

Insiden janji temu pertama yang mendorong kepada lebih parah. Imbas kembali, kedua-dua mereka pada asalnya menuntut di sebuah universiti yang sama di Durham, Britain.

Difahamkan mereka bertemu di sebuah kelab malam pada 30 September tahun lalu sebelum masing-masing saling bertukar nombor bagi hubungan yang lebih serius.

Bagaimanapun hubungan itu mula retak semasa mereka keluar berdua dan makan di sebuah restoran warga Turki sebelum pergi menonton wayang bersama di pawagam.

Difahamkan ketika itu M cuba untuk melakukan perbuatan tidak senonoh dengan mencium dan menyentuh lengan wanita tersebut semasa mereka dalam perjalanan pulang.

Terkejut dengan tindakan M, wanita itu menjelaskan bahawa dia tidak berminat dengan sikap lelaki terbabit yang agak gelojoh dan berlebih-lebihan.

Disebabkan perbuatan jelik itu, wanita itu juga difahamkan mula berasa tawar hati dan tekad mahu memutuskan hubungan mereka.

Justeru disebabkan kecewa kerana cintanya ditolak, M mula tekad melakukan sesuatu untuk mendapatkan wanita itu kembali, tanpa sedar dia telah menjadi seorang yang obses.

Tindakan gangguan melampau yang dilakukan M memaksa wanita itu untuk melaporkannya kepada pihak polis, sebelum lelaki itu akhirnya ditahan untuk siasatan.

Walaupun telah ditangkap dan mahkamah meminta untuk menjauhkan diri daripadanya, namun M tidak mengendahkan syarat tersebut dan terus mengintip wanita itu.

Lelaki terbabit masih lagi dalam usaha untuk memujuk wanita itu supaya menggugurkan aduan polis terhadapnya pada Disember.

Dia juga mencadangkan bahawa mereka boleh menjadi ‘kawan dengan faedah’ (friend with benefits) dan terus menghantar mesej prejudis kepada mangsa.

Bagaimanapun selepas M kembali bertemu wanita itu (setelah cuba berbaik), dia akhirnya ditangkap sekali lagi dan direman semula sejak dari itu.

Menurut prosiding mahkamah, Hakim James Adkin menjatuhkan hukuman penjara selama 28 bulan ke atas M atas kesalahan gangguan tersebut.

Kata James, M akan menjalani separuh masa hukumannya dalam tahanan dan selebihnya di rumah.

Dalam masa sama, mahkamah turut memberi perintah larangan terhadap M untuk menghubungi atau mendekati wanita itu selama 15 tahun.

James berkata, tingkah laku M yang obses melampau itu memberi impak besar kepada mangsa walaupun mereka tidak lagi saling berhubung antara satu sama lain.

Baca juga: MP PAS dari Besut rasmi mesin ATM di pam minyak jadi bahan ketawa netizen