Seramai 1,350 keluarga daripada golongan B40 di negeri pantai timur iaitu Kelantan,Terengganu dan Pahang menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada Yayasan PETRONAS menerusi Program Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata program yang dianjurkan itu adalah bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Aidilfitri bersama keluarga yang tidak bernasib baik.
“Program tahun ini dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada 600 keluarga kurang bernasib baik di Kelantan dari jajahan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh.
“Seramai 750 keluarga B40 lagi dari Terengganu dan Pahang akan diberikan pada 11 dan 17 April depan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan B40 di Kelantan, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohammad Ahmad Shazly berkata sumbangan di Kelantan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang setiap penerima akan menerima barangan keperluan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum dan garam.
“Selain itu, mereka juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti kacang tanah, pes kuah kacang, pes rendang, beras pulut dan santan,” katanya.
Beliau berkata program tersebut turut mencatatkan penambahan jumlah penerima pada tahun ini di seluruh negara iaitu 4,850 keluarga B40 berbanding 3,990 keluarga tahun lepas.
“Bagi menyemarakkan lagi lebaran yang bakal menjelang, PETRONAS turut menyampaikan biskut raya yang disediakan khas oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat) anjuran Yayasan PETRONAS.
“Pogram MEKAR merupakan satu daripada usaha PETRONAS membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS),” katanya.
Baca juga: Siapa sangka minat buat biskut raya sejak kecil, akhirnya Fatiana buka kedai sendiri