Azlan Man ‘dingin’ dengan media, tepis mikrofon wartawan ketika ditanya tentang kes dihadapinya

Oleh KIM SYAZIE

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkelakuan agak dingin dengan para media apabila didakwa cuba menepis mikrofon yang disua wartawan ketika keluar dari perkarangan mahkamah semalam selepas didakwa atas lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Memetik laporan Harapan Daily, Azlan selepas membayar ikat jamin, terus berlalu pergi dan tidak bertemu media yang menunggu hampir 1 jam di lobi mahkamah.

Sebelum itu, para media diberitahu bahawa bekas wakil rakyat itu mahu mengadakan sidang media.

Media cuba mengejar mendapatkan komen Azlan selepas perbicaraan hari itu, namun tidak berjaya.

Azlan juga sempat menepis mikrofon wartawan yang ketika itu bertanya respon beliau; “Datuk Seri macam mana tadi (perbicaraan)?”. “Huhh” tepis Azman.

Para wartawan dan jurugambar sempat berbicara soal tindakan Azlan yang agak dingin dengan media. Namun media juga memahami, mikrofon yang diaju pada bekas MB itu terlalu dekat sehingga mengganggu laluannya.

Sedikit sorotan, Azlan sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM1.06 juta.

Beliau hanya mengangguk faham dan memohon supaya dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Azlan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 kerana menerima dana daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Wang itu dikatakan dimasukkan ke akaun bank Azlan antara Februari 2014 dan Disember 2017

Baca juga: Orang kata cerita lejen Lagi-lagi senario ini dibuat berikutan krisis Kewangan 1997, betul ke?