Setelah kali terakhir diadakan empat tahun lepas, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) akan kembali mencuri tumpuan dengan edisi ke-16 bulan depan, dijangka melibatkan 1,200 syarikat dari dalam dan luar negara pada pameran berkenaan, sekali gus menjadikan acara kali ini yang terbesar pernah diadakan.
Pengarah Eksekutif Alphine Intergrated Solution Muhammad Aqlan Pacleb berkata ini kerana kemungkinan ada beberapa syarikat yang menyertai LIMA’23, mempunyai lebih dari satu anak syarikat yang turut berpotensi terlibat sama dalam pameran berkenaan.
“Kalau kita boleh dapatkan 1,200 (syarikat), dalam konteks inilah kita katakan LIMA kali ini lebih besar dan belum termasuk lagi agensi sokongan kerajaan yang terlibat dengan LIMA’23. Jadi, jumlahnya telah meningkat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Muhammad Aqlan berkata dengan penyertaan memberangsangkan yang diterima, beliau merasakan adalah wajar untuk Dewan Mahsuri di Langkawi, venue utama bagi penganjuran LIMA’23, diperluas lagi susulan maklum balas daripada penggiat industri berkaitan terutama sektor aeroangkasa.
“Saya dengan bangganya boleh mengatakan bahawa sebagai penganjur kali ini, kami akan mempunyai pertahanan terbesar, keselamatan termasuk dalam maritim dan aeroangkasa, serta komersial di rantau ini,” katanya.
LIMA secara tradisinya melibatkan Kementerian Pertahanan kerana ia berkaitan pembangunan industri pertahanan namun pada edisi 2019 dan edisi kali ini, ia melibatkan Kementerian Pertahanan bagi Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa serta Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa).
Muhammad Aqlan berkata faktor lain menjadikan LIMA kali ini dilihat amat baik dalam aspek penyertaan pempamer kerana penganjurannya melibatkan kerjasama pelbagai kementerian yang komited memastikan kejayaan acara berkenaan sehingga meyakinkan banyak syarikat tempatan dan antarabangsa untuk menyertai pameran tersebut.
“Kami tidak akan melihat (pameran) ini di bahagian lain dunia. Melalui LIMA’23 kita melihat Mindef dan MOT bekerjasama. Selain itu, agensi seperti MOTAC (Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan), KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), serta kerajaan Kedah juga sangat membantu untuk memastikan kejayaan LIMA’23,” katanya.
LIMA’23 bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’ akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei.
Sementara itu, Pengarah Urusan Alpine Anita Jacobson berkata setakat ini, 70 peratus daripada 600 pempamer yang telah mengesahkan penyertaan adalah syarikat antarabangsa melibatkan 30 negara.
Beliau berkata jumlah penyertaaan tersebut adalah yang terbesar berbanding penglibatan 400 syarikat pada 2019.
“Kami masih lagi menjual ruang pameran sebab masih banyak permintaan…mungkin kita akan jual sehingga selepas Aidilfitri,” katanya menambah kini masih terdapat kekosongan antara 10 hingga 15 ruang pameran,” katanya.
— BERNAMA
Baca juga: Operasi MRT, LRT dan Monorel dilanjutkan hingga 1.30 pagi Sabtu ini
Baca juga: Harga istimewa tiket penerbangan Sabah, Sarawak buat mahasiswa akan diumumkan