Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa setakat 14 April 2023, sebanyak 74,392 permohonan telah diterima di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), dengan 34,643 daripadanya adalah permohonan yang layak dengan jumlah RM722 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk FSA2 akan terus meningkat lebih-lebih lagi kini Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan BSN MyRinggit Insan-i hari ini.
“Kami berbesar hati kerana kedua-dua MBSB Bank dan BSN menyokong Fasiliti Sokongan Akaun 2, yang kami percaya akan membantu ahli yang mempunyai isu kecairan tunai untuk mendapatkan pembiayaan peribadi tanpa impak yang serius terhadap simpanan persaraan mereka,” kata beliau.
Berhubung dengan pembayaran balik beliau berkata terdapat kekeliruan dalam kalangan sebilangan ahli KWSP di mana ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong oleh pendapatan yang berpatutan.
“Ianya untuk memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi tersebut dan komited kepada pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan mereka.
“Perlu diingatkan bahawa bayaran balik bulanan adalah perlu untuk memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya,” tambah beliau
Fasiliti ini disediakan oleh KWSP bagi membolehkan ahli KWSP membuat permohonan awal bagi pengeluaran bersyarat umur 50 tahun atau umur 55 Tahun dalam mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank melalui kemudahan patuh Syariah Ihsan-i mulai 7 April 2023; dan BSN melalui BSN MyRinggit Insan-i bermula 14 April 2023.
Permohonan akan dibuka selama setahun, membolehkan ahli KWSP mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat permohonan awal bagi pengeluaran bersyarat umur 50 tahun atau umur 55 tahun.
Jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi ini adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 dan maksimum RM50,000.
Ahli boleh membuat permohonan pembiayaan peribadi secara dalam talian melalui MBSB Bank atau BSN.
Setelah pembiayaan peribadi diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal bagi pengeluaran bersyarat umur 50 tahun atau 55 tahun kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan.
Di bawah Fasa 1, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak bank.
Baca juga: Butik Rakyat Rahmah bantu B40 kurang berkemampuan, lebih 35,000 pakaian percuma