Genap setahun lalu pada April, seorang kaunselor keluarga memberi titipan khusus buat anak perantau yang mahu pulang berhari raya di kampung.
Farina Abdullah menasihatkan agar anak-anak yang mahu balik beraya di kampung, tidak sewenangnya meluahkan rungutan dengan pelbagai ‘complaint’ terhadap adik beradik yang menjaga ibu ayah di kampung.
Ini kerana katanya, hanya mereka yang menjaga ibu dan ayah sahaja tahu kerenah kedua ibu bapa merangkumi aspek apa yang boleh dimakan dan sebaliknya.
Kami kongsikan semula pesanan Farina yang sangat wajar diambil berat oleh semua anak-anak.
“Apabila balik raya nanti, kalau kita setakat balik kampung sekali sekala, tak payah banyak sangat nak complaint itu ini dengan adik beradik yang jaga mak atau ayah kita dekat kampung.
“Tak payah kita mengulas itu ini serba tak kena dengan cara adik-beradik yang jaga mak atau ayah kita dekat kampung itu. Tak payahlah tunjuk kita ni bagus sangat, memahami sangat apa kehendak atau kemahuan mak ayah kita.
“Tak payah juga kita nak cakap adik-beradik yang jaga mak ayah kita dekat kampung tu tak bagi apa yang terbaik untuk mak ayah kita,” katanya.
Beliau berkata, jangan pula yang balik sekali-sekala itu hendak menunjuk menjadi anak yang baik serta menurut segala kemahuan ibu dan ayah kerana mereka ini hanya balik dua tiga hari dan selepas raya akan balik meninggalkan ibu dan ayah.
“Kalau apa-apa jadi, macam gula tinggi atau tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi ke sampai kena ulang alik hospital, bukan kita yang bawa tapi adik-beradik di kampung yang akan urus segalanya,” katanya.
Beliau seterusnya berpesan agar tidak memandai-mandai sebaliknya, bertanya terlebih dahulu kepada mereka yang menjaga kedua-dua orang tua tersebut sebelum membuat sebarang tindakan.
Jadi apabila pulang ke kampung untuk berjumpa sanak saudara, ingat jaga mulut dulu ya. Tidak semua perkara yang terlintas di minda perlu diujarkan kepada adik beradik.
Baca juga: Tuanku lagi bijaksana, hantar orang lain maknanya tak berkenan MB Kedah