Bila terlalu sibuk bekerja pasti sukar untuk mengambil sedikit masa untuk beratur di bank bagi membuat penukaran duit raya.
Menjadikan ia sebagai peluang untuk mencari duit lebih, ada individu yang mengambil upah untuk buat servis penukaran duit raya.
Tapi adakah ia dikira sebagai riba dalam Islam?
Di bawah adalah perkongsian mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang persoalan itu.
1308: Mengambil Upah Menukar Duit Raya
Soalan:
Assalamulaikum Dato’ Seri Zulkifli. Saya ingin bertanya apakah hukum meletakkan sedemikian harga sebagai upah menukar duit?
Contoh disini, RM5 upah dikenakan bagi setiap RM100 duit raya yang ditukar. Maksudnya kita membayar RM105 dan akan mendapat kembali RM100 dalam bentuk wang kertas baru.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Saya mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
Surah al-Baqarah (275)
Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebutkan: Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Beliau juga mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162). Kami kemukakan terlebih dahulu takrif riba’.
Definisi Riba’
Menurut bahasa Arab, riba merujuk kepada lebihan, pertambahan dan perkembangan. Firman Allah SWT:
وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ
Maksudnya: “Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berbahagian-bahagian tanaman yang indah permai.”
(Surah al-Haj: 5)
Menurut istilah para fuqaha’, riba ialah akad yang dimeterai sebagai pertukaran barang tertentu tetapi pada ketika akad dimeterai pertukaran ini tidak diketahui kesamarataannya menurut ukuran syara’ ataupun penyerahan salah satu atau kedua-dua barangan tersebut dilewatkan.
Barangan tertentu di sini merujuk kepada harta yang terbabit dengan riba (barangan berunsur riba) dan ini akan dibincangkan nanti.
Tidak diketahui kesamarataan bermaksud salah satu barangan tidak sama dengan barangan satu lagi ataupun tidak diketahui persamaannya.
Ukuran syara’ merujuk kepada sukatan bagi barangan yang disukat ataupun timbangan bagi barangan yang ditimbang.
Tujuan dikaitkan pada ketika akad dimeterai ialah untuk menunjukkan ia tetap akad riba walaupun kesamarataan antara kedua-dua barangan diketahui selepas akad dimeterai.
ontohnya, penjual menjual seguni tepung ditukar dengan seguni yang lain tetapi tidak diketahui ketika kadar setiap guni tersebut.
Akad ini adalah akad riba dan terikat dengan hukum riba yang akan dinyatakan nanti. Walaupun selepas akad tersebut dimeterai kedua-dua barangan ini disukat dan ternyata sebagai sama. Ini kerana persamaan ini tidak diketahui pada ketika memeterai akad.
Penyerahan salah satu atau kedua-dua barangan tersebut dilewatkan bermaksud tidak berlaku penyerahan barangan antara kedua-dua pihak yang berakad ketika akad dimeterai ataupun akad tersebut menetapkan tempoh tertentu untuk penyerahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/57)
Antara takrif yang dikemukakan juga ialah: Riba adalah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. (Lihat al-Riba wa al-Mu’amalat al-Ribawiyyah, hlm. 43)
Jenis-jenis riba dalam mazhab Syafie adalah seperti berikut:
Riba al-Fadl: Iaitu riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantitinya sedangkan kedua-duanya daripada jenis barang item yang sama.
Riba al-Nasi’ah: Iaitu riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan caj tambahan.
Riba al-Yadd: Iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan item ribawi walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan. (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, 5/3703)
Soalan di atas jelas menunjukkan berlaku pertambahan pertukaran RM 100 kepada RM 105, maka jadilah ia termasuk dalam riba’ al-fadhl.
Justeru, elakkan seperti itu, sebaliknya, carilah kaedah lain seperti ajak dia makan atau minum sebagai penghargaan di atas usahanya untuk memudahkan urusan pertukaran duit.
Semoga Allah SWT selamatkan kita dari sebarang bentuk transaksi yang membawa kepada riba’. Amin.
Sumber: Maktabah al-Bakri
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio