Ikhlas si bongsu di Aidilfitri, hanya tidur dalam khemah sebab tak cukup bilik

Oleh KIM SYAZIE

Terkenal dengan sifat manja, si bongsu sebenarnya antara adik beradik yang paling banyak berkorban dalam keluarga.

Kadangkala mereka terpaksa mengetepikan kepentingan sendiri untuk memastikan keselesaan dan kebajikan orang lain.

Satu perkongsian seorang lelaki mengenai situasi rumahnya ketika malam raya telah menjadi perhatian ramai orang di media sosial.

Memberi laluan kepada kakak, abang serta iparnya, pemuda berkenaan memilih untuk tidak tidur di dalam bilik rumahnya.

Bijak mencari jalan alternatif, pemuda tersebut mengubah suai sebuah khemah menjadi bilik yang lengkap dengan kelengkapan penting.

Menerusi video yang dikongsi di laman TikTok @LaksaJohor, dapat dilihat khemah itu diisi dengan tilam, bantal, almari kecil dan penyangkut pakaian.

‘Bilik’ berkenaan turut dilengkapi dengan tong sampah beserta sumber elektrik yang datang dari wayar plag extension.

“Bongsu mana ada bilik, duduk khemah je. Tapi ada privacy,” tulisnya di kapsyen video yang telah mendapat lebih dari setengah juta tontonan itu.

Menurut pemuda yang dikenali sebagai Firdaus itu, dia merupakan anak yang terakhir daripada tujuh adik beradik lain.

Baca juga: Diminta ‘settle tepi’ selepas kemalangan, ini yang perlu anda lakukan