Dilanggar selepas solat sunat Aidilfitri, imam masih tak ingat apa yang berlaku

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki dilanggar ketika berjalan kaki untuk pulang ke rumah setelah selesai mengimamkan solat sunat Aidilfitri.

Menerusi video yang beredar di laman sosial, imam tersebut dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Akibat dari kejadian yang berlaku di Kampung Parit Haji Yusof, Pontian, Johor itu, imam tersebut mengalami kecederaan pada bahagian muka.

Dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, mangsa iaitu Zulkifli A. Ajis juga menerima beberapa jahitan di bahagian mulut.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa yang berusia 39 tahun itu tidak ingat bahawa dirinya dilanggar.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka serta masih tidak ingat tentang kejadian setelah dilanggar.

“(Mangsa) dikejarkan ke Klinik Merlong Rengit sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat,” katanya.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, pemandu SUV itu memandu dengan laju setelah keluar dari simpang empat.

Pemandu juga telah membuat laporan polis dan mendakwa bahawa dirinya tidak perasan mangsa berada di tepi jalan ketika kejadian berlaku.

“Lelaki itu bagaimanapun tampil membuat laporan polis di Balai Polis Benut dan rakaman percakapan selain ujian air kencing telah diambil.” Katanya.

Kes tersebut masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga: Ikhlas si bongsu di Aidilfitri, hanya tidur dalam khemah sebab tak cukup bilik