Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani di Kelantan, MB terima dengan hati terbuka

Oleh MALAYSIADATELINE

Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu membuktikan konteks kebersamaan antara kerajaan Persekutuan dan negeri masih wujud.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah mengenai majlis tersebut dan telah menerima surat daripada kerajaan Persekutuan dengan hati terbuka.

“Kelantan menghormati keputusan kerajaan Persekutuan untuk mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula 7 malam hingga 10.30 malam pada 12 Mei depan.

“Kesemua persiapan tersebut dilakukan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagai kementerian peneraju,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kelantan di Kampung Alor Pasir dekat Wakaf Bharu di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengadakan Rumah Terbuka sempena sambutan Aidilfitri 2023 pada 1 Syawal 1444H di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 anjuran JPM melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku penyelaras utama itu diadakan di Kedah pada 29 April, Kelantan (12 Mei) dan Terengganu pada 13 Mei.

Sementara itu, Ahmad turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak dengan tidak bermain mercun yang boleh mengakibatkan perkara tidak diingini berlaku seperti kebakaran berikutan cuaca panas ketika ini.

“Saya minta rakyat sentiasa beringat. Awasi pergerakan anak-anak dan elakkan bermain mercun khususnya di kawasan rumah.

“Difahamkan, di Kelantan sudah ada 17 kes melibatkan kecederaan terhadap kanak-kanak berusia bawah 10 tahun akibat bermain mercun dengan 12 daripadanya dimasukkan ke hospital,” katanya.

— BERNAMA

Baca juga : Dilanggar selepas solat sunat Aidilfitri, imam masih tak ingat apa yang berlaku