“Bagus pemimpin Malaysia”, netizen Indonesia teruja PM beri tol percuma semasa Aidilfitri

Oleh KIM SYAZIE

Pemberian tol percuma di semua lebuh raya ketika musim perayaan Aidilfitri hujung minggu lalu merupakan yang pertama kali diberikan oleh kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nyata pengumuman itu menarik perhatian ramai, termasuk netizen Indonesia yang meluahkan rasa teruja apabila mengetahui kerajaan Malaysia memberikan tol percuma selama empat hari ketika sambutan hari raya.

Ia berbeza dengan Indonesia di mana tol percuma diberikan di lebuh raya terpilih.

Melalui satu perkongsian di TikTok Sari Ting Ting yang terkenal dengan klip video reaksi rakyat Indonesia terhadap kehidupan di Malaysia, seorang warganegara di seberang itu terkejut ketika mengetahui kerajaan Malaysia memberikan tol percuma ketika musim hari raya.

Memetik Kosmo!, individu tersebut yang dilihat memandu sebuah kenderaan di Malaysia turut memuji, mengatakan tempoh pemberian percuma selama empat hari itu juga adalah satu tempoh yang cukup lama.

“Jika anda ingin tahu, kerajaan Malaysia bagi tol percuma selama empat hari bagi rakyatnya untuk menyambut lebaran. Bukan hanya satu tol tetapi kesemua tol di seluruh negara.

“Jika di Indonesia juga ada tetapi hanya di 11 tol yang masih dalam pembinaan, bukan seperti di sini. Aku amat terkejut,” jelasnya yang menunjukkan paparan tol percuma di sebuah plaza tol Malaysia seperti dilapor Kosmo!.

Perkongsian tersebut juga turut mendapat pelbagai komen oleh rakyat Indonesia dan ramai yang menyatakan begitu bertuah rakyat Malaysia kerana banyak menerima bantuan daripada kerajaan.

“Empat hari tu satu tempoh yang lama, sebelum ini aku ada dengar juga Malaysia memang bagi tol percuma setiap kali tibanyanya perayaan besar. Bagus pemimpin mereka,” Ujar Salawat7 Pelangi.

“Kita (Indonesia) juga ada percuma tetapi di beberapa plaza tol yang masih dalam pembinaan, ternyata plaza tol seperti ini jarang orang lalu,” tulis Hermanian.

Baca juga: Apa perlu dilakukan jika hadapi provokasi di jalan raya? Ini pesanan Bukit Aman buat orang ramai