‘Tak bosan ke pembangkang setiap hari berangan kembali berkuasa’

Oleh NASUHA RAHMAN

Tak bosankah pembangkang setiap hari berangan kembali berkuasa? Itulah pertanyaan yang keluar dari mulut Prof. Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff yang juga merupakan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Kelmarin, apabila ahli MPT Bersatu memberi bayangan angka ‘126’ dalam satu hantaran di Facebooknya, ahli politik kecoh dengan mengaitkan angka itu sebagai jumlah ahli parlimen yang akan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Saya bertanya, tidak bosankah pemimpin pembangkang setiap hari berangan untuk kembali berkuasa?

Masa berkuasa 33 bulan dahulu pun gagal sehingga rakyat terpaksa menaikkan bendera putih, dan sekarang ini hendak cuba tebuk atap 2.0 pula.

Jika hendak uji pengaruh, pergi ke lantai dewan dan buat undi tidak percaya. Jika tidak yakin untuk melakukannya, nasihat saya terimalah realiti PN itu adalah pembangkang.

Cukuplah bermimpi ke Putrajaya, fokus dahulu kepada usaha untuk membangunkan negara. Rakyat mahukan kestabilan dan kemajuan ekonomi. Kalau kerap berpolitik begini, pelabur pun segan untuk datang.

Saya tidak faham dengan pembangkang ini. Jika PMX yang bercita-cita untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah pun hendak ditumbangkan, apa lagi yang boleh diharapkan dengan orang politik ini, terutamanya yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini. Bagi ruang kepada PMX uruskan negara. Tunggulah PRU 16 supaya kita serahkan semula mandat kepada 20 juta pengundi untuk membuat keputusan. Itu lebih absah.

Kembali kepada angka 126, boleh jatuhkah kerajaan perpaduan ini? Saya baharu selesai membaca monograf terbaharu Kai Otswald yang diterbitkan oleh ISEAS pada 2 Mei 2023 bertajuk Why Malaysia’s Unity Government will (probably) survive?

Dapatan beliau hampir sama dengan pandangan saya. Sukar jikapun tidak mustahil. Ini kerana PMX dan kerajaan perpaduan mendapat sokongan daripada Raja-Raja Melayu, berhati-hati dalam mengendali hal ehwal Melayu-Islam, agenda Malaysia Madani mula meresap dalam sanubari bangsa Malaysia, PMX berkarisma dalam soal mengangkat martabat rakyat, melawan perasuah dan menoktahkan kemiskinan.

Di pihak oposisi pula, ternyata ia gagal menjadi pembangkang untuk mengkritik secara konstruktif dasar-dasar kerajaan dan menjalankan peranan semak dan imbang.

Mereka hanya berjaya mencipta kelesuan dan keresahan politik. Tetapi, jika melihat kepada keyakinannya bahawa kerajaan ini tumbang, saya katakan cara pembangkang berangan dan bermimpi, ular pun boleh keluar kaki. Nakal sungguh pembangkang.

Baca juga: Caruman KWSP majikan naik 20 peratus: Ini kesan besar yang ramai tak nampak